Aplikasi yang disediakan secara percuma itu boleh dimuat turun oleh semua peringkat umur dalam telefon pintar dan tablet bermula hari ini di Google Play dan Apple App Store.

Ketua Pegawai Eksekutif Gila-Gila Digital, Syafeeq Shahman Jaafar berkata, aplikasi tersebut merupakan usaha untuk menghimpunkan koleksi komik Gila-Gila dan karya terbaharu yang diterbitkan sejak 41 tahun lalu.

"Majalah ini merupakan khazanah negara sejak diterbitkan pada 1978 yang perlu dijaga kerana ia juga satu-satunya majalah humor tertua di Asia Tenggara.

"Sejak majalah diterbitkan, sudah 800 isu dikeluarkan dan kita akan muat naik ke dalam GG Komiks secara berperingkat selain menjadi platform kepada kartunis baharu dan lama menghimpunkan karya, idea dan hasil kreatif mereka," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian aplikasi tersebut di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah tokoh kartunis, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali Datuk Lat, pengasas majalah Gila-Gila, Datuk Azman Yusof, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein dan Sariman Mior Hassan (Mishar).

GG Komiks mengandungi empat ciri utama dan kandungan yang boleh dibaca pengguna iaitu Majalah GG, Koleksi GG, GG Komiks dan GG TV.

Pengguna boleh menyaksikan produk baharu, segmen tutorial lukisan dan proses suntingan di saluran YouTube GG TV. - UTUSAN ONLINE