Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Burhanuddin Ruslan malah menegaskan langkah berkenaan seolah-olah menidakkan hak pembelaan dan keadilan kepada seorang anggota bomba yang telah terkorban ketika menjalankan tugas serta amanah negara.

Apatah lagi kata Burhanuddin, afidavit tersebut difailkan ketika proses inkues melibatkan kes Muhammad Adib masih berjalan dan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

“Sehubungan itu, Wira Perkasa menyokong gesaan yang dibuat Gerakan Pembela Ummah (Ummah) supaya Tommy menarik balik afidavit yang menyatakan bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib sehingga membawa kepada kematian bukan disebabkan dipukul perusuh.

“Tindakan ini juga dianggap tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip undang-undang apabila afidavit diumumkan sebelum selesai inkues,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, portal berita Free Malaysia Today melaporkan Jawatankuasa Bertindak Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield telah menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang menolak permohonan untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian Adib.

Peguam. M. Visvanathan yang mewakili jawatankuasa itu berkata, anak guamnya menarik balik rayuan itu berdasarkan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu.

Menurut Visvanathan, afidavit itu yang disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah menyatakan kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang. - UTUSAN ONLINE