Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, papan iklan haram itu mengakibatkan MPN kerugian hampir setengah juta ringgit setiap tahun.

Jelas beliau, kerugian itu bukan sahaja dalam aspek kehilangan cukai taksiran, permit binaan dan lesen binaan, malah belanja untuk merobohkannya dianggarkan lebih RM2,000 bagi setiap unit.

“MPN mengalami kerugian kira-kira RM500,000 setiap tahun disebabkan pembinaan billboard ini yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“PBT kena tanggung kerugian dan kos merobohkan sedangkan pemilik papan iklan haram ini memperoleh keuntungan RM10,000 ke RM20,000 setiap tahun,” katanya dalam sidang akhbar Op Bersepadu Kerja-kerja Perobohan Papan Iklan Haram PLUS arah Selatan kawasan MPN di sini hari ini.

Kok Seong berkata, MPN telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 224 daripada 429 papan iklan haram terbabit mulai 1 April hingga 15 Mei lalu dengan mengeluarkan sebanyak 456 kompaun serta 235 notis roboh kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, kata beliau, daripada 456 bilangan kompaun yang dikeluarkan bernilai RM171,750 itu, hanya 36 bilangan kompaun telah dijelaskan bernilai RM13,250 dan tiada tindakan merobohkan billboard haram dilakukan oleh pemilik.

“Dua bulan lepas kita sudah berikan notis kepada pengusaha terbabit, tetapi seakan-akan tiada tindakan dan ekoran itu kita terpaksa jalankan penguatkuasaan merobohkan bermula hari ini.

“Operasi ini dibuat melihat kepada aspek keselamatan terhadap billboard haram yang belum tentu selamat dan kukuh kerana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya,” katanya.

Seramai 30 anggota terlibat dalam operasi itu terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, MPN, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) dan Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel). - UTUSAN ONLINE