Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, program yang akan berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini pertama kali diadakan susulan pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 pada 11 Julai lalu.

Menurut beliau, ia bertujuan mengintegrasikan pelbagai aktiviti dan program keusahawanan merentasi kementerian, agensi kerajaan serta pihak swasta dalam satu ekosistem enyeluruh di samping bertindak sebagai satu pemangkin ke arah mencapai aspirasi Negara Keusahawanan Unggul 2030.

Tambah beliau, MUN 2019 ini merupakan inisiatif baharu kementerian bagi mengumpulkan semua usahawan negara ini di satu tempat sekali gus peluang kepada mereka bertukar pendapat dan lain-lain.

“Tumpuan utama MUN adalah program Satu Daerah Satu Industri yang memberi fokus kepada usahawan dari seluruh negara merangkumi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, inovasi, inap desa, kraftangan serta kesihatan dan penjagaan diri.

“Ia sekali gus membolehkan mereka mempromosikan barang dan perkhidmatan masing-masing kepada pengunjung,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Aktiviti lain yang akan diadakan ialah Persidangan Keusahawanan meliputi segmen wanita; industri halal; segmen industri kreatif dan digital dan pelbagai program lain yang dijayakan dengan rakan strategik kementerian itu.

“Para usahawan boleh merebut peluang ini kerana terdapat agensi kerajaan dan swasta akan menyediakan pelbagai produk serta perkhidmatan keusahawanan di satu tempat dan orang ramai dapat bersama menikmati pelbagai produk pada harga cukup rendah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE