Karya Rosli Mohamad Ali, 43, bertajuk Nafkhatul Faza 3035 memenangi tempat pertama manakala Katalis Neurogenesis mendapat tempat kedua setelah berjaya menewaskan empat lagi penulis dalam penilaian terakhir.

Rosli berkata, dia mula menulis sejak 2009 dan pernah memenangi beberapa pertandingan, malah empat buah karyanya telah diterbitkan.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan anjuran Kumpulan Utusan dan menghantar tiga karya, namun hanya dua daripadanya berjaya memasuki peringkat akhir. Saya terkejut dan tidak sangka apabila nama saya diumumkan bagi tempat pertama dan kedua,” katanya.

Beliau ditemui dalam Maj­lis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Karya Pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan di Dewan Besar Utusan, Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Yang turut hadir Ketua Pe­nga­rang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan timbalannya, Datuk Othman Mohamad; Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendi­dikan, Datuk Seri Alias Ahmad.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, dia menjadikan filem Holly­wood sebagai inspirasi untuk berkarya kerana amat meminati filem fiksyen sains dan mengambil masa sebulan untuk me­n­yiapkan sebuah karya.

Sementara itu, pemenang tempat ketiga, Muhtadi Mahsun, 33, memberitahu, ini merupakan karya pertamanya dalam bahasa Melayu dan dia hanya mengambil masa selama enam hari untuk menyiapkan naskhah Dunia Hanyalah Pentas.

“Saya mula menulis sejak 10 tahun lalu dan kesemua naskhah saya dalam bahasa Inggeris. Mungkin rezeki saya, ini karya pertama dalam bahasa Melayu dan yang pertama menang.

“Selepas ini saya bercadang terus menghasilkan karya dalam bahasa Melayu dan akan menyer­tai lebih banyak pertandingan untuk mencabar diri,” katanya.