Mereka terdiri daripada Md. Rawi Mahmud, Baharuddin Zainal, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, Mohd. Fuzi Silong, Zulkarnaie Zainal, Mustakim Aminuddin, Mohd. Nasir Baharun, Mashuwandee Mohamad Yunus, Zarin Md. Nor dan Mohd. Safiee Omar.

Nama mereka diumumkan oleh Dato' Nika Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ibrahim Harun.

Yang turut hadir, Dato' Ombi Pangkal Maharajalela, Kadin Kidam; Dato' Mengiang Merah Bangsa, Norazman Ahmad; Dato' Maharaja Inda Mohd. Nordin Mansor; Dato' Senara Angsa, Rosli Mohd Zain; Dato' Paduka Menti Abdul Aziz Zaini dan wakil Dato' Cincang, Raja Maizani Shah Raja Musa.

Menurut Ibrahim, semua individu tersebut adalah dalam kalangan 30 orang yang telah mengisi borang permohonan untuk menjadi calon Undang Luak yang baharu.

"Proses ini dibuat berpandu kepada surat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan 28 November tahun lalu yang memutuskan untuk memulangkan semula kepada Luak Jelebu bagi memulakan proses mencari mata benih calon penyandang pesaka Undang Luak itu mengikut aturan adat Luak Jelebu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menzahirkan Mata Benih Penyandang Pesaka Undang Luak Jelebu ke-16 di sini hari ini.

Menurutnya, ketua adat Waris Kemin iaitu Dato' Maharaja Inda Mohd. Nordin telah membuat tapisan awal bersama para buapak dan menyenaraikan seramai 15 orang calon.

"Para Dato' Lembaga telah membuat tapisan kedua dan hari ini kami mengumumkan nama 10 individu dalam senarai akhir untuk dipilih sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.

"Pengumuman nama Undang Luak yang baharu akan dibuat pada Khamis ini di Jelebu," ujarnya.

Ibrahim berkata, pengumuman hari ini dibuat secara telus dan jelas yang berpandukan kepada aturan adat serta tidak dibuat sambil lewa.

Beliau menarik perhatian, ia dibuat secara terbuka bagi membolehkan masyarakat mengetahui tata cara memilih Undang Luak.

"Para Dato' Lembaga luak ini yakin masyarakat mampu menilai apa yang sedang berlaku dan terserah kepada mereka untuk membuat pendirian masing-masing," ujarnya. - UTUSAN ONLINE