Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 22 tahun berada di dalam sebuah kereta.

Mangsa dikatakan mengambil pisau pemotong sayur yang ada di atas tempat duduk kereta namun pisau itu dipercayai terlepas daripada tangannya sebelum tertusuk ke paha kiri.

Rakan lelaki mangsa yang terkejut melihat keadaan wanita itu kemudian membawanya ke sebuah klinik di Jalan Tok Lam di sini sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, polis percaya insiden itu berpunca akibat kecuaian mangsa.

"Apabila kita menerima laporan yang mengatakan seorang wanita Melayu cedera ditikam isu ini menjadi viral dan kita menjalankan siasatan lanjut dengan memanggil dan merekodkan kenyatan mereka terlibat.

"Polis berpuas hati bahawa tiada unsur jenayah," katanya ketika dihubungi.

Mangsa yang menerima rawatan di HSNZ kemudian dibenarkan pulang.

Terdahulu, gambar mangsa yang terbaring di hadapan sebuah klinik di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu menjadi tular di Facebook sejak petang tadi. - UTUSAN ONLINE