Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang itu, kedua-dua mangsa, Nur Firdaus Zolkepli, 28, dan Mohd. Nizar Azis, 42, yang dipercayai pulang dari menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Senawang, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, semasa kejadian trak tentera tersebut datang dari arah Kem 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Senawang menuju ke Rasah.

“Bagaimanapun sebuah motosikal jenis Honda EX-5 ditunggang seorang lelaki berumur 28 tahun bersama pembonceng lelaki berumur 42 tahun dari arah bertentangan membelok ke simpang kanan secara tiba-tiba.

“Trak tentera tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri motosikal menyebabkan penunggang dan pemboncengnya tercampak dan mengalami cedera parah di kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Difahamkan ketika kejadian trak tentera itu dalam perjalanan dari Kem 15 RAMD menghala ke Masjid Tuanku Jaafar untuk mengambil anggota tentera yang selesai menunaikan solat Jumaat.

Rakaman video menunjukkan detik-detik kemalangan itu juga tular dalam media sosial hari ini. - UTUSAN ONLINE