Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Ibrahim Mohd Abdul berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, OKT terlibat sedang dibawa oleh polis dari Mahkamah Seremban ke lokap Balai Polis Sikamat.

“Kejadian berlaku apabila MPV yang berada di bahagian depan mengiringi trak polis yang membawa seramai 26 OKT itu cuba mengelak sebuah kenderaan tidak dikenal pasti menyebabkan ia terbabas.

“MPV itu kemudian merempuh trak polis berkenaan menyebabkan dua kenderaan terbabit tercampak ke kiri dan kanan jalan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ibrahim berkata, sebuah trak polis lain dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membawa 21 OKT terbabit menjalani pemeriksaan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Kata beliau, anggota polis dan OKT yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk menerima rawatan dan siasatan lanjut masih dijalankan. - UTUSAN ONLINE