Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sabah dalam satu kenyataan berkata, pada mulanya, kejadian tanah runtuh berlaku bersebelahan sebuah rumah di kampung itu sebelum menyebabkan pokok tumbang lalu menghempap sebuah kereta dan motosikal yang berada di garaj.

Ujarnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.40 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 10 kilometer dari balai bomba Ranau.

“Setiba sahaja di lokasi, operasi pemotongan dan mengalihkan pokok berjaya dijalankan.

“Dalam kejadian itu, tiada mangsa terlibat dan pasukan kita juga turut membuat pemeriksaan di sekitar kawasan untuk memastikan kawasan itu selamat sepenuhnya,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, keadaan disahkan terkawal kira-kira pukul 9.55 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.55 malam.-BERNAMA