Pada mulanya suri rumah itu, Zahara Jamsari yang baru mahu memasak untuk makan malam terkejut apabila menyedari kebakaran pada bahagian dapur dan dalam situasi kelam-kabut itu tangan serta mukanya melecur.

Jiran-jiran yang menyedari kejadian tersebut kemudian memberikan pertolongan sekali gus menyelamatkan Zahara dan anak OKU suri rumah berkenaan.

Jiran-jiran yang memberikan pertolongan berjaya memadamkan api namun kebakaran tersebut sempat memusnahkan kira-kira 60 peratus bahagian dapur rumah tersebut.

 

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Iszahwati Supardi berkata, 11 anggota dengan dua jentera termasuk satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian, kebakaran di bahagian dapur rumah berkeluasan 10 x 10 kaki persegi terbakar 60 peratus.

“Kebakaran telah dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

“Ketika kejadian mangsa hendak mula memasak. Mangsa mengalami melecur pada bahagian muka dan tangan sebanyak lima peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

 

Katanya, suri rumah itu yang juga pemilik rumah berkenaan dibawa ambulans ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan kecemasan.

Mangsa OKU berkenaan katanya, ditempatkan bersama-sama jiran mereka. - UTUSAN ONLINE