Kebakaran berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi dan sewaktu kejadian, kesemua penghuni berada di tempat kerja di tapak projek syarikat gas dan minyak dekat sini.

Turut musnah dalam kebakaran itu adalah sebuah motosikal milik salah seorang penyewa terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd. Rezuan Adnan berkata, sebuah jentera bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kebakaran sejurus menerima panggilan pukul 11.58 pagi.

Beliau memberitahu, pihaknya turut mendapat bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Dungun bersama kekuatan dua buah jentera dan tujuh orang anggota dalam usaha memadamkan kebakaran.

“Sebaik kami tiba di lokasi, rumah tersebut sudah terbakar sepenuhnya dan kami terus melakukan pemadaman sehinggalah kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 12.25 tengahari,” katanya hari ini.

Menurutnya, keadaan angin dan cuaca panas selain struktur binaan yang diperbuat daripada kayu agak menyukarkan operasi pemadaman dan beliau menambah, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang jiran, Mat Daud Ismail, 51, ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana rumahnya yang terletak agak rapat dengan rumah sewa terbabit terselamat daripada terbakar.

Dia seterusnya memuji ketangkasan anggota bomba dan penyelamat mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran termasuk rumahnya. - UTUSAN ONLINE