Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, kesemua mangsa itu adalah penghuni di dua daripada lima blok rumah panjang di Uma Bawang.

“Sebanyak 198 orang adalah dari blok D manakala 209 lagi mangsa dari blok E dan kebakaran disyaki bermula di sebuah bilik di blok D.

“Kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri semasa kejadian namun seorang wanita berusia 70 tahun melecur di bahagian belakang apabila masuk semula ke rumah panjang untuk mengambil barang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Mohamad, kebanyakan mangsa kini menumpang sementara di rumah saudara-mara yang tinggal di tiga lagi blok rumah panjang tersebut.

Jelasnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 6.03 petang dan 11 anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Perjalanan ke tempat kejadian memakan masa kira-kira dua jam melalui Jalan Bintulu-Bakun namun kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 7 petang oleh Pasukan Bomba Sukarela Uma Daro, Sungai Asap dengan kekuatan 45 anggota,” ujarnya.

Tambahnya, operasi tersebut tamat pada 2.21 pagi tadi manakala punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.- BERNAMA