Anggota Bomba dan penyelamat, Sarawak memadamkan kebakaran di rumah panjang di Rumah (RH) Umpang, Ulu Bauh Celon, Selangau, Sibu, Sarawak

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat Sarawak, berikutan kejadian itu telah memusnahkan keseluruhan rumah panjang yang mempunyai 25 pintu itu.

Ujarnya, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira pukul 9.59 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan penyelamat Sungai Merah, Sibu tiba di lokasi.

“Bagaimanapun, proses pemadaman mengalami kesukaran apabila jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan tersebut kerana laluan yang sempit.

“Susulan itu, pasukan terlibat perlu memunggah pam dan peralatan ke dalam sebuah pacuan empat roda (4WD) Hilux dan bergerak ke lokasi dalam lingkungan lima kilometer KM melalui jalan tanah yang sempit sebelum sampai ke tempat kejadian,” katanya di sini.

Tambah jurucakap, operasi pemadaman bagaimanapun terus dijalankan sehingga api dapat dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 3.05 pagi.

“Pihak bomba mendapatkan sumber air untuk operasi pemadaman melalui anak sungai yang berdekatan.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian,”jelasnya.-UTUSAN ONLINE