Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, pihaknya masih mencari punca insiden itu berlaku menerusi hasil keterangan mangsa kemalangan yang terselamat.

Katanya lagi, setakat kini sebanyak enam saksi yang merupakan mangsa telah dirakam keterangan masing-masing oleh pihaknya semalam.

“Manakala 17 mangsa yang masih dalam wad akan dirakam keterangan secara berperingkat sama ada kita sendiri menemui mereka atau sebaliknya selepas mereka keluar hospital.

“Kita juga melihat daripada aspek keadaan bas yang membawa kesemua 43 penumpang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Zulkifli meminta orang ramai sekiranya menyaksikan waktu kejadian itu berlaku untuk menghubungi pihaknya dengan segera.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, setakat ini hanya 12 orang yang maut termasuk seorang warga tempatan dalam kemalangan itu.

Katanya, mayat warga tempatan yang juga merupakan pemandu bas telah dituntut oleh keluarganya, manakala 11 lagi belum dituntut.

“Daripada 11 mayat belum dituntut, terdapat dua mayat belum dapat dibuat pengecaman,” katanya.

Kelmarin, 12 maut apabila bas dinaiki mereka mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling dekat MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam kejadian yang berlaku pada 11.10 malam, bas tersebut membawa 43 penumpang dari asrama mereka di Putra Nilai, Negeri Sembilan dan sedang dalam perjalanan menuju ke MASkargo.

Jumlah terkini mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut ialah 12 orang iaitu lapan lelaki dan empat wanita.

Mangsa yang maut ialah lima warga Bangladesh, Indonesia (empat), Nepal (dua) dan seorang lelaki warga tempatan. - UTUSAN ONLINE