Nik Muhammad Azhar, 40, yang merupakan Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau negara (LKTN) sebelum itu bersama empat rakannya tiba di tempat peranginan itu kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, Nik Muhammad Azhar dengan tiga lagi rakannya mengail di tingkat pertama lata tersebut sebelum mereka beredar ke tingkat atas dan sebaik sahaja sampai di pertengahan, mangsa berhenti di situ untuk memancing manakala tiga lagi rakannya bergerak ke tingkat atas.

“Kira-kira pukul 4.17 petang, salah seorang rakan telah menghantar whatsapp kepada mangsa dan mesej itu dijawab mangsa bahawa pada waktu itu dia memancing seorang diri manakala bateri telefon hampir habis.

“Ketiga-tiga rakannya kemudian turun dan berkumpul di kawasan bawah lata tersebut dan mereka terkejut apabila mendapati mangsa tiada, lalu mereka cuba mencari di sekitar kawasan tersebut tetapi mangsa gagal ditemui,” ujarnya hari ini.

Menurutnya, mereka bertiga kemudian menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan kehilangan itu kira-kira pukul 8.30 malam tadi dan berikutan itu, operasi mencari mangsa dilancarkan yang disertai anggota polis, bomba serta penduduk kampung sebelum operasi dihentikan pukul 12.30 malam tadi.

Sehinggalah pagi ini, kata Mohd. Zamri, mangsa berjaya ditemukan berhampiran tempat dilaporkan hilang dalam keadaan cedera dan mengalami kejang otot.

“Ketika ditemui, mangsa mendakwa ternampak cahaya lampu selain kedengaran suara memanggilnya dan dia cuba jawab tetapi suaranya tidak didengari oleh anggota pasukan mencari kerana mungkin bercampur dengan bunyi air terjun.

“Sepanjang 12 jam seorang diri dalam hutan itu, dia tidak tidur tetapi sentiasa berdoa dan mengharapkan agar dia cepat ditemui oleh anggota pasukan mencari,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE