Portal Utusan Borneo melaporkan, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Superintenden Nor Azizulkifli Mansor berkata, penunggang motosikal itu Mohd. Zahierudin Alif, 21, dilaporkan maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemandu kenderaan pacuan empat roda berumur 26 tahun dan pemandu treler berumur 46 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu, masing-masing tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal dipercayai mengekori kenderaan pacuan empat roda di hadapannya di lorong kanan jalan, manakala lori treler pula di lorong kiri.

“Kemalangan berlaku apabila motosikal yang berada pada jarak yang terlalu dekat dengan kenderaan pacuan empat roda itu hilang kawalan dilanggar di sebelah kirinya,” katanya di sini.

Nor Azizulkifli memberitahu, insiden itu dipercayai menyebabkan penunggang motosikal terjatuh ke lorong kiri jalan namun lori treler di lorong terbabit tidak sempat mengelak.

Ujarnya, lori treler berkenaan dikatakan terlanggar penunggang motosikal akibat jarak yang terlalu dekat dan mengakibatkan kerosakan teruk jentera beroda dua terlibat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE