Abang ipar mangsa, S. Sathiaseelan berkata, adik iparnya, S. Suresh, 43, telah lebih 10 tahun bekerja sebagai pemandu bas syarikat berkenaan dan ini merupakan pertama kali mendiang terlibat dalam kemalangan sekali gus meragut nyawanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi selepas dihubungi pihak syarikat bas.

“Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga. Sebelum kejadian mendiang ada datang ke rumah saya di Desa Cempaka, Nilai kira-kira pukul 8.30 malam untuk bertanya khabar dan berbual kosong.

“Kami tinggal dalam kawasan perumahan sama dan hampir setiap malam tiga anak Suresh berusia antara lapan hingga 12 tahun dihantar ke rumah saya untuk belajar. Dia tak tunjuk apa-apa perubahan dan cuma beritahu nak pergi kerja sebelum beredar,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, di sini hari ini.


Sathiaseelan memberitahu, mayat mendiang akan dibawa ke Nilai, Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian.

“Mendiang meninggalkan seorang isteri berusia 42 tahun dan tiga orang anak terdiri daripada seorang perempuan berusia 12 tahun serta dua lelaki masing-masing berusia sembilan dan lapan tahun,” ujarnya.

Dalam kejadian pada pukul 11.10 malam semalam, bas membawa 43 pekerja kontrak MASKargo hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar sedalam kira-kira 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MASKargo, KLIA, Sepang. - UTUSAN ONLINE