Seorang daripada mangsa yang terselamat, Nur Annisa Abd. Aziz, 27, berkata, sebelum kejadian, pemandu tersebut memandu dalam keadaan baik dan tidak laju.

Ujarnya, namun tidak dapat dipastikan bagaimana kemalangan itu berlaku memandangkan keadaan di kawasan tersebut gelap.

“Saya sempat terlelap lima minit sebelum kejadian. Namun tersedar selepas ternampak cahaya dan terdengar jeritan rakan-rakan yang duduk di belakang bas.

“Saya ketika itu yang berada di tempat duduk belakang pemandu di bahagian kiri tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan rakan-rakan di bahagian belakang telah menghempap saya sejurus bas tersebut terjunam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, kakak mangsa Fateha Abd. Aziz berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira pukul 6 pagi ini.

“Saya telah dihubungi pihak syarikat memaklumkan keadaan adik saya. Susulan itu, saya terus menghubungi ibu dan ayah saya yang tinggal di Tanjung Malim, Perak.

“Setakat ini, adik saya masih perlu menjalani rawatan dan pihak keluarga kami masih belum dihubungi pihak syarikat apa bantuan dan tindakan yang akan diambil oleh pihak mereka,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE