Mangsa, Nurul Wafa Wirdani Mohd. Shahrul, 16, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi apabila mangsa yang dalam perjalanan ke sekolah memakai baju sukan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.

Menurut Azman, setibanya di lokasi, mangsa dipercayai cuba memotong sesebuah kenderaan di hadapannya namun gagal dan terjatuh ke laluan bertentangan.

“Bagaimanapun, terdapat sebuah kenderaan dipandu seorang wanita berusia 31 tahun dari Kanchong Darat menghala ke Olak Lempit dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai lesen kenderaan dan ketika kejadian keadaan cuaca baik namun permukaan jalan basah. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat dan akan diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pada masa sama, Azman mengingatkan ibu bapa atau pemilik kenderaan yang membenarkan orang lain tiada lesen memandu kenderaan mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(5) APJ 1987.

“Mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE