Kejadian itu turut menerbangkan bumbung kediamannya di Kampung Paya, Keriang Menyabung.

Ketika itu, Manih Chat, 73, sedang bersiap-siap untuk mandi sebelum mengambil keputusan meninjau di bahagian luar rumahnya setelah mendengar bunyi yang amat kuat kira-kira pukul 6.30 petang.

Manih nampak ribut 'bergulung' menerpa rumah

AZIZAN ANI memeriksa barangan yang boleh dipakai untuk disimpan di tempat selamat selepas bumbung rumahnya diterbangkan ribut dalam kejadian di Kampung Paya, Keriang Menyabung di Kedah, hari ini. - UTUSAN ONLINE/Fariz Rusadio

“Sebaik sahaja saya membuka pintu hadapan, tiupan angin yang sangat kencang seperti bergulung-gulung menerpa ke arah rumah, saya juga hampir rebah namun sempat berpaut pada pintu tersebut.

“Masa itu saya hanya ingat Allah dan mengucap serta membaca ayat Kursi memohon perlindungan kerana tidak pernah melihat tiupan angin sekuat itu... Pada masa sama juga saya lihat seorang pemuda yang menunggang motosikal berhempas-pulas mengawal motosikalnya yang hampir terbalik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Selain kediaman Manih, lima lagi rumah penduduk di kampung tersebut rosak akibat dilanda ribut, manakala lima buah lagi rumah di Taman Tunku Maheran, dua di Kampung Paya Pulau Dudur dan sebuah di Kampung Paya Parit Lateh turut terjejas akibat bencana itu.

Kata Manih lagi, beberapa peralatan termasuk perkakas elektrik rosak setelah bumbung tingkat atas rumahnya diterbangkan angin.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Azizan Ani, 64, berkata, ribut tersebut berlaku hanya setelah beberapa minit hujan lebat melanda kawasan itu.

“Saya terdengar bunyi seperti dentuman ketika ribut itu dan setelah reda baru saya keluar periksa sebelum mendapati struktur bumbung dan sebahagian dinding rumah kayu di tingkat atas sudah tercabut.

“Atap zink berserta kayu palang itu diterbangkan angin sejauh 20 meter dan turut mematahkan sebatang pokok rambai sebesar pemeluk yang berada di bahagian belakang rumah,” katanya.

Bagaimanapun, Azizan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu, biarpun terdapat 10 ahli keluarga termasuk lima cucu berada di rumah semasa ribut melanda. - UTUSAN ONLINE