Memetik laporan Utusan Borneo, dakam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Jack Jubang, berusia lingkungan 40-an mengalami sesak nafas dan pengsan sebelum dikejarkan ke Klinik Sekuau.

Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan berkata, mangsa dipercayai mengalami sesak nafas ketika bertindak memindahkan barang-barang dari kawasan terbakar sebelum tidak sedarkan diri.

Menurutnya, kebakaran melibatkan dua blok rumah pekerja kuari (Blok A dan B) yang didiami sebanyak 61 orang itu musnah sepenuhnya.

“Bagaimanapun, kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke Blok C yang terletak 12 kaki dari Blok B.

“Operasi memadam kebakaran dilakukan oleh 16 anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah serta dibantu sepsukan anggota Balai Polis Stapang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” lapor Utusan Borneo hari ini.

Tambah kenyataan itu, punca kebakaran dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit  berkata, polis menerima satu laporan berhubung kejadian yang melibatkan satu kematian. 

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,"katanya.- UTUSAN ONLINE