Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang itu, mayat mangsa berusia 21 tahun itu berkecai dengan beberapa anggota badannya ditemui di sepanjang landasan di Kilometer 175 hingga 165.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kejadian itu disedari oleh kapten ETS berkenaan yang memaklumkan telah melanggar sesuatu di Kilometer 167.5 antara Stesen KTMB Ipoh ke Tasek.

Katanya, setelah pemeriksaan dijalankan, mereka tidak menjumpai sebarang perkara mencurigakan di Stesen KTMB Tasek dan meneruskan pencarian sebelum menjumpai sebelah tangan manusia di landasan seterusnya.

“Pencarian kemudian diteruskan di landasan keretapi di Gunung Lang bermula dari Kilometer 175 hingga 165. Sepanjang landasan, telah menjumpai sebahagian cebisan kaki dan tangan manusia serta seluar hitam di tengah landasan.

“Selain itu, turut dijumpai di lokasi kejadian ialah kad pengenalan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Kampung Temiang, Jalan Datoh, Ipoh. Cebisan daging manusia itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam usaha mengesan waris mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pegawai perubatan telah menyusun cebisan dan bahagian-bahagian badan mangsa namun jasad mangsa tidak dapat dicantum sepenuhnya kerana digilis dengan teruk.

Katanya, polis turut mengutip mata mangsa yang tersangkut di tepi besi kereta api di Depoh Batu Gajah, semalam.

“Hasil temubual bersama ibu dan ibu saudara mangsa mengesahkan seluar dan dompet adalah milik mangsa.

“Cap jari mangsa telah dapat padanan dengan rekod cap jari yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara. Mayat mangsa belum boleh diserahkan kepada waris sehingga menerima keputusan rasmi cap jari,” katanya memberitahu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE