Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Subri Hussin berkata, mangsa, Abu Bakar Ahmad, 46, dijumpai di dasar sungai tersebut dalam keadaan terbelit jala oleh anggota bomba pada pukul 11.50 malam.

Katanya, mayat mangsa dijumpai pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi pencarian bermula.

“Pihak bomba dimaklumkan mengenai kehilangan lelaki itu oleh isterinya pada pukul 7.42 petang selepas mangsa tidak pulang ke rumah setelah keluar menjala ikan pada sebelah petang semalam.

“Usaha pencarian mangsa dilakukan di kawasan tersebut dari hulu ke hilir sungai dengan kedalaman satu meter di antara jarak empat kilometer dari pos kawalan bomba. Mangsa bagaimanapun dijumpai di dasar sungai dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya. - UTUSAN ONLINE