Pemilik rumah, Abd. Rahim Sanusi, 85, yang tinggal bersama dua anak serta dua cucu, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur dan terjaga bila terdengar bunyi berdentum.

“Saya baru lepas bedah jantung, terperanjat. Bila terperanjat, saya urut dada saya, baru lega sikit. Bila keluar dari bilik, nampak banyak siling di rumah saya jatuh,” kata warga emas itu kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Selain daripada beberapa siling yang jatuh, kelihatan beberapa kesan retakan di rumahnya.

Seorang lagi penduduk kampung, Abdul Halim Mahmood, 52, berkata, kira-kira pukul 1.30 pagi, dia mahu berehat sebelum terdengar satu bunyi yang kuat seperti bom meletup.

“Saya dengar bunyi kaca pecah, jadi saya meninjau di luar dan dapati pintu sliding door saya pecah selepas bunyi yang kuat itu,” katanya, yang turut mendapati beberapa retakan pada dinding rumahnya.

Sementara itu, Ketua Kampung, Zainal Abidin Abd. Rahim berkata, ketika kejadian, dia berada di luar kampung dan merasa sendiri gegaran letupan berkenaan, sebelum mendapat panggilan daripada orang kampung sendiri untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

“Tidak lama lepas kejadian, saya menghubungi wakil Petronas untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Pihak Petronas minta saya buat bancian setiap rumah untuk mengenal pasti jenis-jenis kerosakan serta minta penduduk terjejas untuk buat laporan polis,” katanya.- BERNAMA