Antara laporan polis yang dibuat ialah berita palsu kononnya Mohamad Ashraf sudah ditemui, sudah berkahwin dengan jin dan disorok penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, empat laporan tersebut diterima daripada empat individu berbeza sejak 4 April hingga semalam.

Katanya, antara laporan polis yang dibuat ialah mengenai berita palsu kononnya Mohamad Ashraf sudah ditemukan.

Katanya, polis turut menerima laporan kononnya lelaki yang hilang itu sudah ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) namun dia dikatakan tidak mahu pulang kerana telah berkahwin dengan jin.

“Selain itu, satu laporan lagi ialah mengenai rakaman suara yang dimuat naik di akaun Facebook kononnya mangsa disorok penduduk kampung.

“Laporan juga diterima berkaitan satu status yang dimuat naik melalui akaun Facebook yang menyatakan pihak penganjur Gopeng Ultra Trail lepas tangan mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasron Nazri berkata, polis merujuk tiga laporan awal kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk siasatan lanjut.

Katanya, laporan keempat diklasifikasikan sebagai tiada kesalahan jenayah dan siasatan akan dibuat berlandaskan fakta dan bukti.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan maklumat atau berita melalui media sosial berdasarkan persepsi sendiri sebaliknya menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya. - UTUSAN ONLINE