Ketua Zon 4 Johor yang juga komander operasi, Penguasa Kanan Bomba II Emil Taihin berkata, anggotanya memerlukan masa untuk memadam kebakaran berikutan api mudah merebak kerana hampas tandan kelapa sawit yang kering.

“Sehingga pukul 2 petang ini, baki kebakaran diangarkan kira-kira 20 peratus membabitkan timbunan hampas tandan kelapa sawit yang digunakan sebagai bahan untuk memproses isi tilam.

“Kebakaran bermula pada pukul 2.38 petang semalam di mana Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran dua buah blok di kilang Biovision & Greenergy Sdn. Bhd. di Industri 2, Pelabuhan Darat di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan keterangan awal daripada pengusaha kilang, kebakaran dipercayai berpunca daripada longgokan hampas sawit di pekarangan kilang.

Menurutnya, kilang memproses tandan sawit untuk membuat fiber itu telah beroperasi sejak 2016.

“Siasatan awal mendapati, faktor cuaca panas dan kering petang semalam menyebabkan kebakaran spontan berlaku di timbunan hampas,” ujarnya.

 

Emil Taihin berkata, api kemudian merebak ke dua buah blok gudang berstruktur kekal berukuran 700 kaki x 800 kaki hingga memusnahkan 70 peratus bangunan berkenaan dan seramai 51 pegawai dan anggota bersama-sama sembilan jenis jentera terlibat dengan kerja-kerja pemadaman.

“Kami turut mendapatkan bantuan dari tiga buah balai berhampiran iaitu BBP Labis, BBP Segamat dan BBP Bukit Gambir. Beberapa ketua balai juga hadir bagi membantu operasi ini iaitu Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail (BBP Bandar Baru Segamat); Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar (BBP Labis) dan Penolong Penguasa Bomba Hazim Abdul Razak (BBP Segamat).

 

“Kebakaran setakat ini berjaya dikawal, namun nyalaan api di timbunan hampas sawit masih belum benar-benar selesai. Bantuan operasi menggunakan jentolak dilakukan bagi mengasingkan sisa-sisa kebakaran yang tidak terbakar,” katanya.

Menurut beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE