Ketua Zon 3 Pahang, Penguasa Bomba Shahrulnizam Nasir berkata, empat pegawai bersama 36 anggota menyertai operasi memadamkan kebakaran dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu.

“Semua pegawai dan anggota yang bertugas dari empat balai bomba dan penyelamat iaitu Raub, Kuala Lipis, Bentong serta Cameron Highlands.

“Kita berdepan kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana tekanan air rendah manakala paip utama ke kilang terbabit dikunci dipercayai kerana masalah berkaitan pembayaran bil air,” katanya di sini hari ini.

Menurut Shahrulnizam, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) turut menghulurkan bantuan dengan menyediakan tiga lori tangki air berkapasiti 10,000 liter setiap satu.

“Kita turut membuat ‘fire break’ menggunakan jentera yang ada di kilang terbabit untuk mengangkut kayu yang belum terbakar,” ujarnya.

Tambahnya, api berjaya dikawal pada pukul 1 pagi namun kerja-kerja memadamkan bara masih diteruskan.

“Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE