Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan berkata, hanya 10 peratus sahaja kawasan yang masih berasap dan perlu dipadamkan esok.

“Kita akan melakukan dua lagi penerbangan untuk mengawal saki-baki kawasan yang masih berasap dan operasi pemantauan seterusnya akan diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” Katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Menurut Geok Chuan, pihaknya telah menggunakan 300,000 liter air untuk membuat penyemburan dari udara yang menggunakan pesawat Bombardier CL415.

“Untuk sorties pertama yang dijalankan pada pukul 9.30 pagi hingga pukul 12.30 tengah hari ini, 156,000 liter air digunakan untuk sektor ketiga, manakala sorties kedua dari pukul 2.30 petang hingga pukul 4.50 petang, 144,000 liter telah digunakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, keadaan di Miri kini berada dalam keadaan amat baik.

Jelasnya, pihaknya akan meneruskan pemadaman baki tompokan asap pada esok dan pemantauan akan dilakukan di kawasan sekitar dengan menggunakan dron. - BERNAMA