Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, empat bilik yang terlibat adalah masing-masing sebuah bilik guru, bilik guru penolong kanan, pejabat pentadbiran dan bilik guru besar.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, cuti tersebut melibatkan sebanyak 192 murid sekolah itu sahaja namun ia tidak melibatkan 24 orang guru di sekolah berkenaan.

“Berikutan kebakaran yang berlaku di SK Sempang petang semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengisytiharkan cuti kecemasan bagi semua murid di sekolah ini supaya tidak perlu hadir selama dua hari, bagaimanapun guru di sekolah itu perlu bertugas seperti biasa.

“Setakat ini dianggarkan jumlah kerugian melibatkan struktur bangunan sekolah adalah RM750,000 dan ia belum termasuk peralatan lain yang musnah dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Guru peringkat negeri dan Karnival Pendidikan negeri yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian semalam, kebakaran itu disedari pengawal keselamatan sekolah yang ternampak asap di belakang bangunan dan segera menghubungi guru besar sebelum memaklumkan kepada bomba.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Rohaya Alias berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.45 petang dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian dengan kekuatan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau dan Jasin Bestari.

“Siasatan awal mendapati bangunan dua tingkat itu terbakar hampir 80 peratus dan api berjaya dikawal pada pukul 6.21 petang dan dipadamkan sepenuhnya 15 minit kemudian,” katanya. - UTUSAN ONLINE