Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan pagi ini berkata, mangsa yang rentung dikenali sebagai Riti Jubi, 43, manakala ibunya Diah Bunyah, 80, melecur 10 peratus dalam kebakaran yang meranapkan sama sekali rumah panjang 22 buah pintu itu.

“Semasa kejadian hanya mangsa serta ibunya berada di rumah panjang kerana ada penghuni menghadiri majlis kematian di rumah jiran dan ada juga bilik yang tidak berpenghuni,” katanya sambil menambah kira-kira 300 orang mendiami rumah panjang tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui di rumah pintu nombor 17 dalam keadaan rentung pada pukul 11.05 malam dan telah diserahkan kepada polis Mukah pada pukul 6.30 pagi ini untuk tindakan selanjutnya.

“Bomba Tatau menerima panggilan pukul 8.25 malam semalam, namun jarak perjalanan 60 kilometer dan tidak dapat dilalui jentera kerana melalui jalan ladang serta berbukit menyukarkan pihak bomba untuk sampai ke lokasi.

“Ketiadaan liputan telekomunikasi di lokasi menyebabkan laporan operasi kebakaran tidak dapat disampaikan,” katanya sambil menambah kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.30 pagi tadi. - BERNAMA