Mayat mangsa, Muhammad Faris Izwan Mohd Fazli, 6, ditemukan pada pukul 12.40 tengah hari oleh pasukan penyelamat dan penduduk tempatan kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan seramai 25 anggota termasuk 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

“Segala operasi berjalan lancar dan dihentikan sebaik sahaja kita menemukan mangsa dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang semalam, mangsa dikatakan mandi-manda bersama dua rakan berusia enam dan sembilan tahun di sungai berkenaan.

Bapanya mengesyaki mangsa lemas selepas dia tidak pulang ke rumah pada pukul 7.30 petang dan menjumpai baju mangsa di tebing sungai.

Dia kemudian menghubungi pihak bomba memaklumkan kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE