AHMAD Aqil Fadlullah Ahmad Ruhaimi yang dikhuatiri lemas di Sungai Manir berhampiran jeti Teluk Menara, Manir di Kuala Terengganu petang semalam. - UTUSAN ONLINE

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Ahmad Aqil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Manir dikatakan tenggelam selepas terjun ke dalam sungai tersebut.

Insiden tersebut disedari oleh dua rakan mangsa yang turut berada di lokasi kejadian, bagaimanapun, ekoran rasa takut mereka bertindak pulang ke rumah tanpa memaklumkan kepada keluarga masing-masing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, bomba dengan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira pukul 8.24 malam.

Katanya, unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Terengganu turut membuat selaman selama 45 minit dalam lingkungan 50 meter dari tempat kanak-kanak itu dikhuatiri tenggelam.

"Kawan-kawannya nampak Ahmad Aqil Fadhlullah lemas, mereka berada di satu tempat bersama dengan mangsa merupakan orang pertama yang terjun sebelum terkapai-kapai dalam sungai.

"Kesukaran pada malam ini adalah keadaan arus yang kuat jadi, kami mengambil keputusan untuk menghentikan selaman namun, kerja mencari di dasar sungai masih diteruskan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Setakat pukul 12 tengah malam tadi, anak sulung daripada tiga beradik itu masih belum ditemukan pasukan penyelamat.

Menurut Rozizah, kerja-kerja selaman akan diteruskan pukul 7.30 pagi esok dengan membawa bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di samping aset lain.

Sementara itu, ibu mangsa, Noor Afidah Mohd. Salmi, 32, berkata, dia yang kurang sihat terkejut apabila dimaklumkan suaminya tentang kejadian yang menimpa anak mereka itu selepas Maghrib tadi.

Katanya, mangsa tidak pernah berkunjung ke lokasi kejadian dan kebiasaannya, hanya bermain di sekitar kediaman mereka yang terletak berdekatan Pasar Manir.

"Bimbang juga sebab dia tidak pernah balik lewat macam ini, kebiasaannya pukul 6.30 petang selepas bermain dia akan berada di rumah.

"Hari ini saya tidak sihat dan selepas balik awal dari tempat kerja saya terus berehat. Saya pun tidak tanya sebab petang-petang memang waktu dia biasa bermain," katanya. - UTUSAN ONLINE