Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata, operasi memadamkan kebakaran di Kampung Sedi, Pulau Bruit, Tanjung Manis yang masuk hari ke-11 telah ditamatkan kira-kira pukul 10.15 pagi ini selepas hujan lebat melanda kawasan itu.

Ujarnya, berikutan itu, operasi di Jalan Marudi,Miri juga hanya melibatkan pemantauan sahaja.

"Hanya terdapat sedikit tompokan asap sahaja di Jalan Marudi, Miri kerana hujan semalam.

“Selain itu, operasi memadamkan kebakaran di kawasan seluas 26.7 hektar di Kampung Tuie, Serabang, Betong, telah ditamatkan kira-kira pukul 2.45 petang ini dan pemantauan akan dijalankan bagi kawasan terbabit dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, bagi operasi pemadaman kebakaran di Taman Harmoni, Sri Aman yang masuk hari ke sembilan pula disambung kira-kira pukul 8.30 pagi ini dan JBPM berjaya memadamkan 3.2 hektar.

“Masih berbaki 2.8 hektar yang masih belum dipadamkan melibatkan Lot 4041, 4042 dan 3709 di Kuala Baram yang memasuku hari ke-18.

“Operasi disambung kira-kira pukul 9 pagi ini dengan keluasan berjaya dipadamkan setakat ini ialah 248.8 hektar,” ujarnya.

Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu, sebanyak 525 kes kebakaran hutan, belukar dan tanah gambut dilaporkan di negeri ini sejak 1 Ogos lalu sehingga hari ini dan tiada kes lain dilaporkan.-BERNAMA