Mohd. Faisol Romle dan adiknya Muhammad Firdaus masing-masing berusia 38 dan 25 tahun dilaporkan hilang kira-kira pukul 11 pagi bersama dua lagi rakannya Mohd. Amirul Adli Khairi, 25 dan seorang lagi dikenali sebagai Nazaruddin.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 9.40 malam selepas rakan mangsa yang membuat pencarian gagal menemui mangsa.

Menurutnya, pengadu mengatakan salah seorang mangsa telah menghubungi rakannya untuk meminta pertolongan kerana bot mereka gagal dihidupkan berpunca daripada masalah kerosakan pada bateri.

“Tiga rakan mangsa cuba menjejaki mereka di lokasi terakhir yang dinyatakan melalui aplikasi Whatsapp (berhampiran boya putih merah) namun bot berwarna putih tersebut gagal ditemui dan telefon bimbit mangsa juga gagal dihubungi.

“Maritim kemudiannya menerima laporan polis pada 9.40 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada pukul 10.30 malam,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Mohammad Rosli, ekoran kejadian, beberapa aset Maritim Selangor telah digerakkan malam tadi bagi memulakan pencarian bot yang dinaiki oleh empat orang lelaki tempatan yang sepatutnya tiba di jeti Sungai Kembong, Pulau Indah pagi semalam.

“Namun, operasi SAR yang dilakukan dalam jarak radius lima batu nautika pada malam tadi masih belum membawa kepada apa-apa penemuan empat orang mangsa terbabit.

“Pihak kami menyambung semula operasi SAR pada pagi ini dan turut disertai oleh Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Pasukan Polis Marin, Pulau Indah,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE