Dalam kejadian pukul 8.10 pagi itu, mangsa, Muty Othman, 63 dan anak perempuannya, Nur Ain, 32 tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang depan kereta manakala anaknya yang berusia tiga tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Volkswagen yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dan Perodua Myvi.

“Pemandu Volkswagen tersebut dalam perjalanan dari Selayang ke Gohtong Jaya, Pahang dan ketika kejadian, tayar keretanya di bahagian depan sebelah kiri telah meletup sebelum terbabas dan merempuh kereta yang dipandu Nur Ain dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Bak Phai, kes kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.15 pagi.

“Tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerah ke lokasi kejadian untuk melakukan kerka-kerja menyelamat,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE