Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Wan Muhammad Nazri Wan Rajuna, 18, dan Francis Umpau Nyareng, 52.

Menurutnya, kemalangan berlaku sekitar pukul 10.30 pagi ketika Wan Muhammad yang menunggang motosikal dari arah Kampung Seberang menuju ke Kampung Tebelu dirempuh motosikal ditunggangi Francis yang secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

"Perlanggaran di antara dua motosikal tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Simunjan sebelum mereka disahkan meninggal dunia semasa dirawat," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Borneo hari ini.

Ujar Alexson, siasatan di tempat kejadian telah dijalankan termasuk merakam percakapan saksi-saksi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE