Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, anggota terbabit dikatakan sedang menjalankan rondaan rutin sebelum terserempak sebuah kereta Proton Satria Neo dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, kenderaan dinaiki suspek dilihat cuba berpatah balik berhampiran lokasi sekatan jalan raya berkenaan sebelum bertindak mengejarnya.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di satu selekoh di Jalan Bukit Puchong, kenderaan suspek dikatakan membrek secara mengejut sebelum terbabas lalu melanggar sebuah Perodua Kancil yang diletakkan di bahu jalan.

“Ini menyebabkan kereta jenis Proton Inspira dinaiki anggota polis terbabit tidak sempat mengelak lalu terbabas ke dalam longkang yang berada di kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azman, kejadian itu menyebabkan salah seorang anggota patah pergelangan tangan kiri, manakala seorang lagi koyak tisu bahu kiri sebelum kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

“Pemandu Proton Satria Neo itu berjaya meloloskan diri dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN ONLINE