Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan berhubung pokok tumbang dan mengenai sebahagian rumah penduduk sekitar Sabar Bernam, Sungai Besar dan Sekinchan, yang rosak akibat ribut dan angin kuat.

"Di Sabak Bernam kami menerima tujuh panggilan melibatkan pokok tumbang dan pokok tumbang menghempap rumah penduduk, dan pintu gerbang di jalan masuk Kampung Nelayan Bagan Nakhoda Omar juga turut runtuh dalam kejadian ribut malam tadi.

"Di Sungai Besar kami menerima empat panggilan di mana tiga darinya merupakan kes pokok tumbang menghempap rumah, dan di Sekinchan hanya dua panggilan pokok tumbang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan antara pukul 8.30 pagi tadi sehingga 12.30 tengah hari.

"Kerja-kerja membersihkan pokok yang tumbang telahpun selesai pada kira-kira pukul 2.00 petang," katanya.

Sementara itu jurucakap Unit Pengurusan Bencana Selangor melaporkan kuaters kakitangan Klinik Kesihatan Parit Baru di Sabak Bernam turut terjejas akibat ribut malam semalam.

"Sebahagian daripada bumbung di kuaters itu telah tercabut berikutan angin kuat malam semalam, bagaimanapun tiada yang tercedera," katanya.

Tambah beliau pihaknya sedang membuat bancian berapa buah rumah yang rosak akibat ribut malam tadi. - BERNAMA