Demikian peribahasa yang boleh digambarkan terhadap seorang bayi perempuan yang nyaris dihempap sebatang kayu alang bumbung rumah yang jatuh akibat kejadian ribut di Kampung Baru Sungai Durian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, bayi terbabit, Nur Anisa Faiha yang berusia tiga bulan sedang nyenyak tidur di bahagian tengah rumah sementara ibunya sedang memasak di dapur.

Menceritakan semula kejadian itu, Suzila Ramli, 24, berkata, jarak kayu alang bumbung yang jatuh bersebelahan anak bongsunya itu hanya kira-kira 15 sentimeter.

“Saya bersama seorang lagi anak berada di dapur waktu itu dan tidak perasan bumbung di bahagian tengah sudah diterbangkan angin sehinggalah saya menoleh ke belakang dan nampak rumah sangat cerah.

“Barulah saya sedar bumbung sudah tercabut dan pada masa sama juga saya teringatkan Nur Anisa yang tidur di ruang itu sebelum bergegas mendapatkannya.

“Alangkah terkejutnya apabila melihat sebatang kayu berada di sisinya yang hanya berjarak satu tapak tangan orang dewasa,“ katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Tambah Suzila, keadaan bertambah panik apabila bayinya itu tidak memberikan sebarang reaksi ketika dia mengejutkannya daripada tidur kerana menyangka Nur Anisa sudah dihempap kayu tersebut.

“Namun, setelah kira-kira tiga minit saya menggoyangkan badannya barulah dia mencelikkan mata... Saya sangat bersyukur ketika itu kerana Allah lindungi kami sekeluarga,” katanya.

Dalam kejadian ribut di Pokok Sena semalam, kira-kira 22 buah rumah dari tiga buah kampung serta dua buah sekolah masing-masing Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tong Yuh turut rosak. - UTUSAN ONLINE