Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, bas tersebut menggunakan laluan berbeza daripada destinasi yang perlu dilalui oleh kenderaan berkenaan untuk menghantar pekerja ke MASKargo KLIA.

“Siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 43 tahun itu sepatutnya mengambil susur ketiga ketika melalui Bulatan Minyak untuk ke MASKargo namun didapati bas terbabit mengambil susur kedua bulatan menuju ke ‘hangar’ KLIA yang menyimpang dari laluan sebenar.

“Saya difahamkan, MASKargo terletak kira-kira 200 meter dari bulatan terbabit dan perkara ini menjadi tanda tanya pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 11 maut selepas bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling, berdekatan MASKargo, Sepang, malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 11.10 malam itu mengorbankan lima warga Bangladesh, dua warga Nepal, tiga orang wanita warga Indonesia serta seorang warga tempatan yang dipercayai pemandu bas pekerja berkenaan. - UTUSAN ONLINE