Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mangsa yang dikenali dengan nama Budi, jatuh dari bot nelayan ketika berada pada jarak kira-kira enam batu nautika dari Kuala Sungai Bernam, pada kira-kira pukul 1 pagi.

"Kehilangan beliau disedari rakannya, ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang ke Jeti Nelayan Bagan Nakhoda Omar.

"Operasi Carilamat telah diaktifkan sejak 4.15 petang semalam dan kami telah menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat di Pantai Bagan Nakhoda Omar.

"Pihak kami masih belum menemui apa-apa setakat ini dalam kawasan pencarian seluas 75 batu nautika persegi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau sebuah aset bot peronda Maritim Negeri Selangor telah digerakkan ke lokasi pencarian dan turut dibantu Pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Unit udara maritim serta komuniti nelayan sekitar juga turut memberi bantuan," katanya. - BERNAMA