Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, ambulans dinaiki dua pembantu perubatan dan pemandu dalam perjalanan membawa seorang pesakit yang merupakan mangsa kemalangan di Petronas Sungai Lembing menuju ke HTAA.

Dalam kemalangan itu, ambulans berkenaan dikatakan berpusing sekali sebelum terbalik di jalan berhadapan Kolej Universiti Widad.

Mangsa kejadian yang merupakan Pembantu Perubatan HTAA, Zulkaham Abdul Wahab berkata, ambulans dinaiki mereka dirempuh pada bahagian tengah oleh SUV itu dan berpusing sekali sebelum terbalik.

“Orang ramai kemudian datang membantu dengan membuka pintu ambulans dan membawa semua mangsa keluar ke tepi jalan termasuk pesakit kemalangan, “ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Difahamkan, pemandu Honda HR-V yang merupakan seorang wanita dan anaknya tidak mengalami kecederaan dan dihantar menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dan bantuan penyelamat tiba selepas 10 minit kejadian.

Berikutan kejadian itu kawalan lalu lintas dikawal oleh Pasukan Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. - UTUSAN ONLINE