Kesemua pemancing terbabit yang berusia antara 35 hingga 60 tahun itu dikatakan keluar memancing di kawasan berkenaan pada pukul 9 pagi.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya berjaya diselamatkan kira-kira pukul 7 malam selepas salah seorang daripada mereka berjaya menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau, Sabah.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Malaysia Tawau, Komander Maritim Mohd. Yusri Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan tersebut kira-kira pukul 5.50 petang sebelum operasi mengesan bot pancing berkenaan dilancarkan.

Ujarnya, berikutan itu, bot peronda Banggi 13 diketuai Bintara Muda Maritim, Kasman Kasim yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan berkenaan digerakkan ke lokasi kejadian berdasarkan maklumat diperoleh.

“Tidak lama selepas itu, bot dinaiki sembilan pemancing itu berjaya dikesan dan mereka ditemui dalam keadaan selamat sebelum diiring ke Jeti Kelab Kapal Layar Tawau (YTC) dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. yusri turut mengingatkan orang ramai, khususnya kaki pancing supaya membuat persediaan sewajarnya sebelum turun ke laut terutamanya pada musim monsun barat daya ketika ini.

“Sekiranya berhadapan situasi kecemasan atau melihat salah laku jenayah ketika berada di laut orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Operasi, Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE