Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, van sekolah yang membawa lapan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakuba sedang dalam perjalanan menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balung.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Nor Azizulkifli Mansor dalam satu kenyataan berkata, setiba sahaja di tempat kejadian, pemandu van sekolah yang berada di laluan sebelah kiri dikatakan mengubah haluan ke lorong kanan untuk memotong sebuah lori yang berada di hadapannya sebelum dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada di lorong yang sama.

Ujarnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu van sekolah yang memotong secara berbahaya sehingga mengakibatkan perlanggaran dengan dua kenderaan lain.

“Akibat pelanggaran itu van sekolah terbabit terseret ke arah hadapan sebelum melanggar sebuah lori tiga tan jenis Isuzu yang berada di hadapannya.

“Kemalangan itu menyebabkan enam orang pelajar mengalami cedera ringan dengan seorang daripadanya menerima 18 jahitan di bahagian muka dan satu jahitan di bahagian tangan sebelah kanan. Pemandu van sekolah itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambah Nor Azizulkifli, semua mangsa dihantar ke hospital dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besar Tawau dekat sini.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE