Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, seramai 12 orang daripada mereka dirujuk di Hospital Port Dickson (HPD) sebelum tujuh daripadanya ditempatkan di wad hospital itu.

Beliau memberitahu, 12 lagi murid yang turut mengalami loya dan muntah-muntah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Linggi.

Belia berkata, kejadian itu berlaku selepas murid-murid berumur tujuh hingga 12 tahun itu terhidu racun daripada kerja-kerja menyembur racun di ladang cili seluas dua hektar kira-kira 500 meter dari sekolah.

“Kerja-kerja semburan itu bermula pada pukul 8.40 pagi dan berlarutan selama satu jam. Guru di sekolah itu memaklumkan bahawa murid-murid mula terhidu bau racun pada pukul 10 pagi selepas semburan racun dipercayai dibawa angin ke kawasan sekolah.

“Hasil siasatan mendapati bahan semburan yang digunakan dikenal pasti sebagai Malathion bagi mengawal ulat di ladang cili tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa di HPD di sini.

Menurut Veerapan, terdapat 201 murid, 27 guru, enam pekerja sokongan dan empat pekerja pembersihan, namun hanya 24 murid terbabit disyaki mengalami keracunan.

Ujarnya, sekolah itu diarahkan tutup esok bagi kerja-kerja pembersihan dan akan dibuka semula apabila disahkan selamat.

“Ladang cili milik persendirian itu telah diminta menghentikan kerja-kerja menyembur racun. Mereka sepatutnya melakukan kerja tersebut pada hujung minggu atau selepas waktu sekolah demi keselamatan warga sekolah itu.

“Jabatan Alam Sekitar akan membuat penilaian berhubung keadaan di kawasan ini dan penduduk di kawasan sekitar yang mengalami loya atau muntah dinasihatkan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE