Pengurus Jabatan Perisikan Ke­wangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM), Azizul Adzani Abdul Ghafar turut menafikan bahawa dia `dilatih’ oleh individu atau pihak agar memberikan jawapan tidak benar dalam perbicaraan kes Ali Parlimen Pekan itu yang menghadapi tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Saksi tersebut diasak sede­mi­kian oleh peguam bela, Harvinderjit Singh yang mendakwa lelaki terbabit sebenarnya telah mengetahui dari awal bahawa serbuan yang dijalankan di AmBank cawangan Raja Chulan di sini pada 6 Julai 2015 adalah berdasarkan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 dan bukannya berdasarkan Bahagian 4 akta sama.

Harvinderjit: Awak tidak bersikap jujur!

Azizul Adzani : Tidak.

Harvinderjit: Saya cadangkan kamu telah memberi keterangan yang tidak betul di mahkamah.

Azizul: Tidak.

Harvinderjit: Adakah kamu ada menyembunyikan sesuatu

Azizul: Tidak.

Harvinderjit: Adakah kamu terima apa-apa taklimat dari mana-mana pihak untuk hadir ke perbicaraan ini dan memberikan keterangan yang tidak benar?

Azizul Adzani: Tidak.

Sementara itu, saksi pen­dak­waan ketiga, Mohammad Ni­zam Yahya yang juga dari jabatan yang sama ketika disoal balas oleh Harvinderjit bersetuju dengan cadangan peguam bela terbabit bahawa dokumen-dokumen yang ditunjukkan kepadanya di mahkamah ‘tidak lengkap’.

Harvinderjit: Awak beritahu telah diberikan tujuh set dokumen oleh Nimma kepada awak secara berperingkat dan kemudiannya dokumen asal telah diserahkan kepada SPRM?

Mohammad Nizam: Betul.

Harvinderjit: Tetapi apa yang ditunjukkan pada awak di mahkamah, tidak seperti mana yang awak serahkan pada SPRM? Ia tidak lengkap.

Mohammad Nizam: Ya.

Harvinderjit: Untuk setiap set pun tidak lengkap?

Mohammad Nizam: Ya.