T. R. Thurkai Devi, 32, dan Sharil Mohd. Sarif, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan secara bera­singan di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Thur­kai Devi didakwa menggunakan aplikasi Facebook miliknya untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan telah dibacakan di laman Facebook Belenggu Fatamorgana di Pejabat Bahagian Perundangan (D5), Jabatan Siasatan, tingkat 14, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Aman pada pukul 11.47 pagi, 4 Jun 2018.

Sementara itu, Sharil pula didakwa melakukan perbuatan sama yang turut memuat naik sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong dan kemudian dibacakan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 11.30 pagi, 13 Mac lalu.

Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria dan Muhamad Asyraf Md. Kamal masing-masing tidak mencadangkan sebarang ikat jamin dengan alasan kesalahan yang dilakukan orang kena saman (OKS) adalah serius kerana melakukan penghinaan terhadap pemimpin tertinggi negara.

“Perbuatan OKS Sharil ini boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Setiap hari ada sahaja penghinaan dibuat terhadap institusi diraja, Yang di-Pertuan Agong, nabi dan agama dalam laman sosial, jika jaminan yang rendah diberikan dikhuatiri akan menyampaikan mesej salah kepada masyarakat bahawa penghinaan yang teruk bukanlah satu kesa­lahan serius,” kata Muhamad Asyraf.

Sementara itu, menurut Mohd. Sophian berkata, perbuatan Thurkai Devi adalah serius apabila dia menghina Yang di-Pertuan Agong iaitu ketua kepada negara dengan perkataan menghina dan meletakkan Yang di-Pertuan Agong seolah-olah individu tiada kedudukan dalam negara.

Peguam M. Dinesh yang mewakili kedua-dua OKS memohon agar anak-anak guamnya diberikan jaminan dengan alasan mereka belum lagi didapati bersalah dan telah memberi kerjasama yang baik semasa siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing OKS diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan.