Runi Khatun, 26, dimasukkan ke hospital pada 16 Julai lalu dalam keadaan lemah dan kurus selain muntah setiap kali menjamah makanan.

BARANGAN kemas dan duit syiling yang dikeluarkan daripada perut
BARANGAN kemas dan duit syiling yang dikeluarkan daripada perut Runi Khatun selepas dibedah di India, baru-baru ini. – AGENSI 

Daily Mail melaporkan, apabila dibedah, doktor mengeluarkan 69 utas rantai, 80 anting-anting, 46 duit syiling, lapan loket, 11 anting-anting hidung, empat kunci, lima gelang kaki dan seutas jam tangan di dalam perut wanita itu.

Menurut ibunya, dia mula menyedari barang kemasnya hilang di rumah tetapi tidak me­nyangka anak perempuannya itu menelan kesemua barang tersebut.

Tambahnya, Runi mendapat duit syiling dari kedai abangnya dan apabila ditanya mengenai kehilangan barang-barang itu, dia akan menangis.

Pakar bedah, Dr. Siddhartha Biswas dari Hospital dan Kolej Perubatan Rampurhat berkata, keadaan Runi amat kritikal ketika dibawa ke hospital malah dia langsung tidak mampu makan.

“Jadi kami terpaksa menstabilkannya dulu selama seminggu sebelum dapat melakukan pembedahan.

“Kami juga memasukkan makanan melalui suntikan Total Parenteral Nutrition (TPN) kerana pesakit tidak dapat me­ngunyah makanan. Barang kali jika dibedah lebih awal, risiko pesakit mati adalah tinggi,” katanya.

Dalam pembedahan yang berjalan kira-kira satu jam 15 minit itu, doktor berjaya mengeluarkan kesemua bara­ngan tersebut daripada perut wanita itu.

Runi kini dilaporkan stabil.