Channel News Asia mela­porkan, sejak Januari lalu, kira-kira 30,000 orang dima­sukkan ke hospital selepas disahkan dijangkiti wabak tersebut dengan 2,000 kes baharu dicatatkan setiap hari sejak beberapa minggu lalu.

Angka itu dijangka me­ningkat di kawasan-kawasan pedalaman apabila berpuluh-puluh juta penduduk akan pulang ke kampung halaman mereka bagi menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Sambil menyifatkan pe­nyakit itu kini sebagai satu wabak di Bangladesh, seorang pakar yang enggan namanya disiarkan mendakwa, angka sebenar mereka yang diserang wabak tersebut adalah lebih tinggi berbanding laporan rasmi yang dikeluarkan.

Keadaan di beberapa hospital juga dilaporkan tegang apabila penduduk menye­rang kakitangan perubatan dan situasi itu memaksa mereka memanggil pengawal keselamatan bersenjata untuk memberi perlindu­ngan.

Pengarah Hospital Kolej Perubatan Suhrawardi, Uttam Kumar Barua membe­ritahu, logistik hospital yang terlalu terhad menyebabkan hospital itu tidak dapat me­nempatkan kesemua pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

Katanya, kemasukan pesakit bergantung kepada tahap keseriusan kes, namun kebanyakan pesakit berkeras untuk mendapatkan rawatan di situ dan keadaan tersebut mencetuskan situasi tegang.

Di pusat diagnosis pula, beratus-ratus penduduk dilaporkan memenuhi bangunan itu dengan membawa bayi untuk menjalani ujian denggi.

Menurut Pertubuhan Ke­si­hatan Sedunia, tidak ada vaksin atau ubat khusus bagi merawat penyakit itu dan sekiranya tidak mendapat penjagaan rapi, pesakit boleh meninggal dunia. –AGENSI